Rabu, 12 Juni 2013

Nampaknya Pengerusi SPR Tak Mau Letak Jawatan Secara Sukarela, Tetapi Secara Paksa


Pengerusi SPR: Kami tak akan letak jawatan

KUALA LUMPUR - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini menegaskan barisan kepimpinan suruhanjaya itu tidak akan meletak jawatan hanya kerana didesak sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan proses Pilihan Raya Umum ke-13.

Menurutnya barisan kepimpinan SPR yang terdiri daripada beliau, timbalannya dan lima anggota jawatankuasa suruhanjaya itu, dilantik mengikut Perlembagaan Persekutuan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebelum diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Peletakan jawatan barisan kepimpinan SPR yang merupakan sebuah badan bebas, tidak boleh dibuat secara tidak rela atau paksaan seperti yang didesak oleh sebuah kumpulan.

"Ia hanya boleh dibuat melalui undang-undang," katanya kepada pemberita selepas ditemu ramah stesen radio Nasional FM di Angkasapuri di sini.

Beliau berkata hanya Yang di-Pertuan Agong berhak mengeluarkan arahan kepada barisan kepimpinan SPR untuk meletak jawatan jika terbukti mereka melanggar peraturan dan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Kalau kami melanggar undang-undang, cara yang baik adalah melalui petisyen dan berjumpa di mahkamah...buktikan dahulu kami melakukan perkara tersebut dan kita sama-sama lihat,"
katanya.

Abdul Aziz berkata berkata barisan kepimpinan SPR hanya boleh dilucutkan jawatan disebabkan bankrap, memegang jawatan lain dengan mendapat pendapatan, menjadi wakil rakyat, atau sebab-sebab lain seperti jenayah dan masalah mental seperti gila.

"Maknanya atas sebab kepercayaan awam tidak ada lagi ataupun melanggar peraturan Perlembagaan Persekutuan, dan ia boleh dilakukan melalui penubuhan tribunal," katanya.

Beliau juga berkata tindakan pembangkang mengheret rakyat untuk berhimpun kerana tidak puas hati dengan proses pilihan raya umum lepas tidak akan mengubah keputusan pilihan raya itu.

"Buktikan melalui undang-undang...jangan kita mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan orang lain, persepsi mereka yang keluar perhimpunan seolah-olah mereka percaya SPR menipu," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata SPR akan tetap meneruskan kajian semula persempadanan pilihan raya di negara ini menjelang akhir tahun ini dan ia akan dilaksanakan dengan telus.

Proses persempadanan semula yang terakhir dilakukan pada 2003 dan sepatutnya dibuat semula pada 2011, tetapi SPR telah menangguhkannya sehingga pilihan raya umum ke-13 selesai, katanya.

"Peguam Negara telah menasihati SPR untuk memulakan segera kajian semula persempadanan ini," katanya.

Beliau berkata di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 113 (2)(ii), persempadanan semula kawasan pilihan raya boleh dibuat dalam tempoh tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun daripada siapnya kajian sebelumnya.

Beliau berkata SPR diberi tempoh maksimum dua tahun untuk melengkapkan kajian dan kajian persempadanan itu terlebih dahulu akan dipamerkan kepada orang ramai sebelum dibawa ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dibahas dan dilulus. - Bernama

Ulasan GB

Baguslah kalau dah ambil sikap macam tu sekalipun majoriti rakyat sudah buat keputusan mengundi Pakatan Rakyat (51%), yang bererti juga majoriti rakyat telah meminta Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatannya kerana Pakatan selama ini bertungkus lumus berhimpun di seluruh negara meminta mereka berdua meletakkan jawatan.

Tidak mahu berundur secara sukarela, bererti kamu mahu berundur secara dipaksa...

Ok, fine, kita tunggu saja hukum kebenaran dan keadilan mengambil tempatnya..

Yang rakyat minta dan rakyat doakan ialah kedua-dua makhluk tersebut dihumbankan ke penjara di satu hari nanti. Muga Allah memperkenankannya, aminnn!

p/s GB hairan mengapa Pakatan Rakyat terlalu lembik di dalam hal ini. Pemimpin Pakatan Rakyat perlu bertindak pro-aktif. Bukan sekadar turun buat himpunan BLACK 505 sahaja, tetapi MESTI membuat dan kemukakan aduan terus kepada Majlis Raja-raja.

Persembahkan segera surat kepada Yang Dipertuan Agong agar Majlis raja-raja membincangkan hal tuntutan majoriti rakyat supaya kedua-dua Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dilucutkan jawatannya dan Perdana Menteri disiasat mengapa terlalu membela anggota SPR ini.

Juga pemimpin Pakatan perlu tegas di dalam Parlimen nanti supaya Suruhanjaya Diraja Siasat SPR dibentuk segera. Jika PM tidak mahu mendengarnya, maka usul tidak percaya dikemukan terhadapnya. Jika tak lulus, usul lagi, sampai berjaya. Jika Speaker menolak, usul tak percaya pula diberikan terhadapnya.

Biar ada rekod dalam hansard bahawa ada usul tak percaya telah dikemukakan terhadap Speaker berkenaan. Menjadi bukti bahawa PR telah berusaha sehabis daya.

Kena tegas dan sudah sampai masanya untuk wakil rakyat Pakatan bertindak. MAJORITI RAKYAT BERSAMA KAMU!




Tidak ada komentar:

Posting Komentar