
Kenyataan Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah yang berbaur hasutan dipengaruhi pemikiran Umno dan Barisan Nasional kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamed Hanipah Maidin.
Menurut ahli Parlimen Sepang itu, tidak wajar seorang cerdik pandai seperti Mohd Noor mengeluarkan kenyataan yang menggalakkan permusuhan kaum khususnya di antara kaum Melayu dan Cina.
“Pandangan beliau itu silap dan dipengaruhi oleh Umno BN. Macam mana orang yang bijak pandai fikirannya boleh dipengaruhi seperti ini,” kata Hanipah dipetik dari laporan Harakahdaily.
Hanipah menegaskan, dalam negara yang mengamalkan demokrasi dan terdiri daripada masyarakat majmuk, setiap kaum berhak mempunyai sekolah aliran mereka.
“Kenapa kita nak tutup semua sekolah jenis kebangsaan sedangkan itu hak mereka?
“Hak mereka untuk belajar bahasa ibunda dan sepatutnya kita menggalakkan anak-anak Melayu turut belajar bahasa Cina dan Tamil supaya tahu pelbagai jenis bahasa. Tutup SJK tidak menyelesaikan apa-apa,” katanya.
Menurutnya, sistem pendidikan kerajaan BN melahirkan individu seperti Mohd Noor yang penuh dengan prasangka terhadap kaum lain.
“Inilah hasil didikan Umno BN sehingga melahirkan orang-orang seperti ini. Mereka penuh dengan rasa syak wasangka, perkauman yang kuat dan takut pada perkara yang tidak wujud,” tegasnya.
Hanipah walau bagaimanapun tidak bersetuju Akta Hasutan digunakan terhadap Mohd Noor kerana berpandangan akta itu harus dimansuhkan.
“Saya tak setujulah kalau nak kaitkan dengan Akta Hasutan sebab Pakatan Rakyat (PR) mahu akta ini dimansuhkan jadi kenapa kita nak kenakan ke atas pihak lain mahupun Umno BN.
“Setiap orang berhak beri pandangan dan Mohd Noor kena bersedialah kalau orang ramai serang beliau kerana keluarkan kenyataan yang menimbulkan kebencian kaum,” katanya.
Bekas hakim itu dilaporkan menuduh Cina merancang untuk “merampas kuasa politik” daripada Melayu, walaupun sudah mendapat manfaat dari segi ekonomi dari “setia kawan” Melayu.
“Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan dikhianati orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam kesumatnya tak sudah-sudah,” kata beliau dipetik dari Malaysiakini dalam satu forum bertajuk “Wacana Post Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah” anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.
“Apabila Melayu dikhianati, akan ada tindak balas dan Cina mesti menanggung akibatnya dari tindak balas Melayu.”
Untuk memantapkan hujahnya Mohd Noor yang kini bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menganjurkan agar penyusunan masyarakat itu turut melibatkan pewartaaan kawasan rizab Melayu di kawasan bandar bagi membolehkan kaum Melayu membangun dan menguruskan perniagaan bersama kaum Cina.
“Istilah cantiknya ialah menyusun semula masyarakat. Tapi istilah kasar ialah orang Melayu berhijrah supaya gedung-gedung yang kita lihat dibandar sama-sama dimiliki, bukan melihat sahaja.
“Susunlah strategi supaya dalam masa 10 tahun ini, Yang Dipertuan Agong mengarahkan badan berkuasa untuk jamin supaya kekayaan negeri ini dimiliki kita sebanyak 67 peratus,” kata beliau.
BN menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi oleh PR, lebih rendah daripada 140 kerusi yang mereka menangi dalam Pilihan Raya 2008.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mencadangkan “tsunami Cina” menyebabkan BN mendapat keputusan pilihan raya terburuk dalam sejarah.
Utusan Malaysia, akhbar dimiliki Umno, juga mencadangkan pengundi Cina cuba melakukan provokasi kaum dengan mengundi menentang BN, dengan satu tajuk muka hadapan akhbar itu berbunyi, “Apa lagi Cina Mahu?”.
Akhbar itu — dilihat bersekutu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin parti lain — secara konsisten berhujah undi menentang Umno yang mengetuai BN sama dengan undi menentang Melayu.
Ini berlaku apabila secara faktanya parti PR PAS dan PKR sebahagian besarnya ahlinya Melayu-Muslim. DAP turut meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya. -TMI
Anwar: Kenyataan Mohd Noor lebih rasis dari KKK
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar kenyataan kontroversi seorang bekas hakim Mahkamah Rayuan yang memberi amaran bahawa orang Melayu akan membalas dendam sekiranya dikhianati oleh orang Cina.
Anwar berkata, kenyataan Datuk Mohd Noor Abdullah itu malah mengatasi kumpulan pelampau kaum Ku Klux Klan (KKK) di Amerika Syarikat, katanya.
“Ucapan rasis bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Noor Abdullah mengatasi Ku Klux Klan dan akan membuatkan (pemimpin Nazi Jerman, Adolf) Hitler bangga.
“Berapa lama lagi kita perlu bertolak ansur dengan tindakan meniup kebencian dan mengumpan perkauman dari kerajaan haram (Datuk Seri) Najib (Razak),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam ucapan tersebut, Mohd Noor antara lainnya menyeru golongan Melayu agar bertindak dengan lebih agresif untuk mempertahankan hak mereka serta menyusun semula masyarakat, ekoran keputusan pilihan raya umum 5 Mei.
Bercakap dalam seminar yang membincangkan mengenai kesan pilihan raya tersebut hari ini, Mohd Noor menyeru demikian kerana orang Cina didakwanya mengkhianati ikatan setia kawan orang Melayu itu melalui usaha untuk merampas kuasa politik.
"Pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu itu adalah benar oleh kerana mereka merancang untuk merampas kuasa politik setelah membolot kuasa ekonomi," katanya, mengulas keputusan pilihan raya tersebut. -mk
Tidak ada komentar:
Posting Komentar